วันอาทิตย์ที่ 17 กุมภาพันธ์ พ.ศ. 2556


Bab 3: Pemerintahan Patani Zaman Kejatuhan
Manakala Raja Kuning sudah mangkat dan tiada lagi warisnya yang berketurunan daripada Raja Seri Wangsa yang boleh dilantik menjadi pemerintah menduduki takhta kerajaan Patani. Sekalian kerabat diraja dan orang-orang  besarnya telah bermesyuarat mencari persetujuan untuk memilih siapa yang patut dan layak menaiki takhta kerajaan. Pada masa itu telah ada seorang pembesar yagn tertua bernama Raja Bakar duduknya di kampung Teluk yang layak sekali menjadi pemerintah itu. Di dalam permesyuaratan yang tersebut masing-masing telah bersetuju melantik Raja Bakar ini mendai pemerintah lalu dijemputnya menaiki takhta kerajaan Patani tetapi tiada berapa tahun sahaja Raja Bakar memerintah di atas takhta kerajaan itu pun mangkat.
        Yang demikian soal memilih raja menaiki takhta kerajaan Patani telah membawa sekali lagi dalam majlis mesyuarat kerabat diraja dan orang-orang  besarnya. Permesyuaratan pada kali ini telah mengambil keputusan bahawa mereka yang akan menjadi Raja Patani itu berkehendaklah kepada seorang yagn berketurunan raja yang tulen. Pada masa itu di dalam negeri Patani sudah habis keturunan raja-raja yang boleh menaiki takhta kerajaan oleh itu dengan persetujuan majlis mesyuarat juga telah mempersilakan seorang daripada anak raja dalam Kelantan menjadi raja di negeri Patani yagn bernama Raja Mas Kelantan. Dari semenjak itu mulalah negeri Patani ini diperintah oleh raja-raja yang berketurunan dari raja Kelantan. Raja Mas Kelantan ini telah menjalankan pemerintahan di Patani beberapa tahun lamanya hingga mangkat dan takhta kerajaan Patani diserahkan kepada puterinya bernama Raja Mas Jayam menggantinya.
        Setelah beberapa tahun kemudian Raja Mas Jayam ini pun mangkat dengan tiada meninggalkan seorang waris juga. Kemudian dengan persetujuan mesyuarat telah melantik seorang anak raja bernama Raja Ahmad duduknya di kampung Dual (dalam daerah Rakak sekarang) menaiki kerajaan Patani dan digelarkan Sultan Muhamad.
        Dalam masa negeri Patani diperintah oleh Raja Bakar, Raja Mas Kelantan dan Raja Mas Jayam itu keadaan di dalam negeri Patani sangatlah tenang dan aman tidak pernah diserang oleh musuh-musuhnya, terutama orang-orang  Siam-Thai. Akan tetapi di dalam soal kemajuan, negeri Patani pada masa itu beransur-ansur mundur istimewa dalam perkasa perniagaan  kerana dalam masa pemerintahan raja-raja Patani yang berketurunan dari Raja Seri Wangsa dahulu negeri Patani telah terkenal sebuah pusat perniagaan  yang besar di Tenggara Asia dan sentiasa didatangi oleh bangsa-bangsa Eropah. Dalam masa pemerintahan raja-raja Kelantan ini kemajuan perniagaan  itu makin bertambah kurang dan bangsa-bangsa Eropah pun sudah habis keluar melainkan yang masih tinggal di dalam Patani ialah bangsa-bangsa Timur sahaja iaitu Jepun, China, saudagar India-Islam dan orang-orang  Arab. Mereka ini sentiasa hidup baik dengan orang-orang  Melayu Patani bersama-sama menjalankan perniagaan  dengan aman.
          Dengan kerana orang-orang  India dan Arab itu beragama Islam maka senanglah mereka bercampur gaul dengan orang-orang  Melayu dan tidak ada suatu halangan pun kepada mereka akhirnya dapatlah mereka menjadai orang-orang  Melayu.
          Adapun orang-orang  Siam-Thai iaitu musuh yang utama kepada orang-orang  pada masa itu, tiada mereka datang menyerang negeri Patani. Dewasa itu negeri Siam sedang berada di dalam kesusahan dan selalu berbangkit  gerakan derhaka merebut kekuasaan sama sendiri serta peperangan saudara kerap kali berlaku sehingga takhta kerajaannya selalu bergoyang. Tambahan pula orang-orang  Burma yang selalu menjadi musuhnya itu tiada berhenti-henti datang menyerang negeri Siam-Thai menyebabkan Raja Siam tiada berpeluang hendak menyerang dan menakluk negeri Patani.
          Dalam tahun Masehi  1767 Kota Ayuthia pusat pemerintahan Siam pada masa itu telah dapat ditawan oleh orang-orang  Burma menyebabkan sentisa berlaku kacau-bilau yang hebat dan orang-orang  Burma telah masuk memerintah Kota Ayuthia itu. Sekalian raja-raja kecil yang memerintah di merata jajahan takluk Siam pada masa itu masing-masing berangan-angan mahu memerintah sendiri dan membebaskan kedudukan meraka dari takluk Raja Siam itu. Raja dalam negeri Ligor telah menggunakan kesempatan ini mendiri semula kerajaannya yang bebas dan merdeka lalu dia mengisytiharkan kerajaannya di sebelah selatan Siam. Negeri-negeri Singgora serta Pathalung telah menjadi jajahannya serta dihantar menterinya menjadi pemerintah di dalam jajahan itu.
          Dalam masa negeri Siam sedang kacau-bilau dan raja-raja kecilnya di seluruh jajahan itu sedang mendirikan kerajaan masing-masing timbullah seorang pembesar Siam-Thai bernama Phya Tak Sin dia telah dapat mengumpul sekumpulan orang-orang  Siam-Thai hingga menjadi suatu pasukan yang besar, kemudian dia telah mengetuai pasukan itu menyerang balas ke atas orang-orang  Burma dalam Kota Ayuthia. Akhirnya dia telah berjaya dan orang-orang  Burma itu habis dihalau dan dibunuh serta Kota Ayuthia itu dapatlah kembali ke tangan orang-orang  Siam-Thai, lalu didirikan semula pusat kerajaan Siam-Thai itu dan dia sendiri menjadi rajanya. Tetapi pusat pemerintahan telah dipindah ke suatu tempat yang lain di dalam jajahan Thon Buri.
          Setelah itu Phya Tak Sin
Raja Siam itupun menghantar angkatan tenteranya ke seluruh jajahan takluk kerana mengalahkan raja-raja kecil yang berkeras mahu merdeka dari pemerintahan Raja Siam-Thai itu. Tidak berapa lama sahaja sekalian raja-raja kecil itu habis daat ditunduk kepadanya semula hanya raja negeri Ligor sahaja yang belum dapat dikalahkan.
          Oleh itu di dalam tahun Masehi  1769 Raja Siam-Thai itu telah melancarkan serangan yang besar ke atas negeri Ligor dengan kerana kekuatannya lebih besar dapatlah Raja Siam itu mengalahkan Raja Ligor dan Raja Ligor yang ingin mahu kemerdekaan itupun terpaksa melarikan diri ke Singgora tetapi diturut pula oleh Raja Siam itu akhirnya Raja Ligor, Raja Singgora dan Raja Pathalung telah membawa kaum kerabatnay melarikan diri ke negeri Patani serta meminta perlindungan kepada Sultan Muhamad.
          Dalam hal itu Raja Siam-Thai mengikut juga hingga sampai di daerah Tiba iaitu sempadan negeri Patani dengan Siam pada masa itu. Dari situ dia menghantar utusannya kepada Sultan Muhamad meminta supaya ketiga orang raja yang lari dari Singgora itu ditangkap dan dihantar kepadanya.
          Jika Sultan Muhamad enggan menyempurnakan kehendaknya iaitu dia akan tetap menyerang negeri Patani. Utusan Raja Siam-Thai itu telah sampai di Patani pada bulan Disember tahun Masehi  1769 juga. Oleh itu Sultan Muhamad telah bermesyuarat dengan pembesar-pembesarnya mencari keputusan mahukah diturut atau tidak akan kehendak Raja Siam-Thai itu. Keputusannya patut diturut kerana bimbang atas keselamatan dan keamanan negeri Patani nanti diserang oleh Raja Siam-Thai dengan hanya suatu sebab yang kecil sahaja. Tambahan baginda Sultan Muhamad telah merasai tidak ada bersangkut paut pun dengan Raja Ligor dan rakan-rakannya itu. Setelah itu baginda menyuruh orangnya menangkap Raja Ligor itu dihantarnya kepada Raja Siam kemudian Raja Siam-Thai belayarlah kembali dengan membawa ketiga orang raja-raja yang tersebut sebagai tawanannya. Semenjak itu negeri Ligor pun bercantum kembali ke bawah takluk Raja Siam-Thai.
          Adapun perkembalian Raja Siam-Thai itu bukanlah terhapus ingatan jahatnya di atas negeri Patani akan tetapi hatinya masih kuat berkehendak supaya negeri Patani itu dapat ditakluk dan orang Melayunya dapat diperhambakan. Sebagaimana kejayaannya dapat menakluk negeri Ligor, Singgora dan Pathalung itu. Oleh kerana kekuatannya belum dapat meluluskan kehendaknya itu terpaksalah dia diam dahulu sementara menunggu masa yang baik.
          Dalam hal yang demikian pada tahun Masehi  1776 orang-orang  Burma pun datang pula menyerang negeri Siam utaranya. Dengan hal ini Raja Siam-Thai itu mahu mengetahui adakah Sultan Muhamad Raja Patani itu takut kepada pengaruhnya atau tidak lalu pura-pura dia menghantar utusannya ke Patani meminta bantuan Sultan Muhamad itu membantunya melawan serangan orang-orang  Burma itu dan dikehendaki bantuan sebanyak 80,000 bath[1]. Tetapi permintaan itu tidak dihiraukan oleh Sultan Muhamad, bila diketahui oleh Raja Siam-Thai kehendaknya tidak berjaya sangatlah panas hatinya dan bertambah-tambah kuat azamnya hendak menakluk negeri Patani.
          Di antara itu dalam tahun Masehi  1782, Raja Siam-Thai yang bernama Phya Tak Sin
Atau Raja Thon Buri itu pun mati dibunuh oleh seorang panglimanya dan panglima inilah yang dilantik menjadi Raja Siam-Thai menggantinya atau bergelar Phra Putrra Yu’ Fa Chula Lok atau Raja Rama yang pertama daripada keturunan Maha Chakri. Di dalam pemerintahan raja inilah yang mula didirikan Kota Bangkok yang ada sekarang ini.
          Dua tahun kemudian iaitu di dalam tahun Masehi  1784, orang-orang  Burma datanglah pula menyerang negeri Ligor yang di dalam takluk Raja Siam itu. Raja Siam telah menghantar adiknya yang menjadi Raja Muda membwa angkatan perangnya untuk melawan orang-orang  Burma itu. Angkatan perang itu telah beredar dari Bangkok dengan beberapa buah kapal perang menuju ke negeri Ligor, manakala sampai di Ligor terus panglima Siam-Thai itu mendaratkan tenteranya dan bersatu dengan angkatan Siam Ligor melawan orang-orang Burma itu. Peperangan telah berlaku berbulan lamanya kesudahannya orang-orang  Burma terrpaksa mengundurkan diri kembali setelah ditewas oleh angkatan perang Siam-Thai yang datang dari Bangkok itu.
          Setelah tamat peperangan Raja Muda Siam itu telah membawa angkatan perangnya ke Singgora kerana mengatur urusan pemerintahan di situ. Setelah siap urusannya dia telah menghantar utusannya ke Patani meminta Sultan Muhamad tunduk kepadanya dengan baik.
          Bila utusan Raja Siam-Thai sampai di Patani, Sultan Muhamad telah memanggil pembesar-pembesarnya datang mesyuarat untuk mengambil keputusan yang muktamad akhirnya tetap suara masing-masing tidak mahu tunduk kepada Raja Siam-Thai lebih lagi tidak akan melayani segala kehendak Raja Siam-Thai yang bertujuan hendak merampas kedaulatan Raja Dan kebebasab negeri Patani.
          Keputusan ini telah diberitahu kepada utusan Raja Siam-Thai itu bila diketahui Raja Siam-Thai bahawa kehendaknya tidak berjaya tambahan pula dia telah mendapat jawapan yang megahdari Sultan Muhamad itu. Sangatlah bergelora nafsu penjajahan dalam hatinya dan memutus fikirannya akan menyerang negeri Patani diberitahu kepada panglimanya Phraya Kalahum membawa angkatan perasaannya menyerang negeri Patani dan memaksa panglima itu berperang secara berhabisan sehingga negeri Patani itu dapat ditakluk.
          Sultan Muhamad sepeninggalan utusan Siam-Thai itu kembali telah yakin di hati baginda bahawa bagaiman pun pada kali ini sudah tentu negeri Patani akan diserang oleh orang-orang  Siam-Thai. Oleh itu baginda tidak berlengah laig terus bertitah melengkapkan senjata perang dan membina kubu-kubu pertahanan serta mengatur langkah-langkah perang seberapa yang dapat.
          Tetapi dukacita bahawa kedudukan negeri Patani pada masa itu di dalam kelemahan kerana telah kurang kekuatannya dan segala senjata perang sudah tidak memadai jikalau berperang dengan berlanjutan. Semenjak berhenti peperangan dengan orang-orang  Siam-Thai dalam masa pemerintahan Raja Kuning dahulu hampir-hampir setengah kurun lamanya negeri Patani tidak pernah diperalatkan senjata perang kerana tidak ada musuh-musuh yang datang menyerang. Selama itulah orang-orang Melayu Patani hanya hidup dengan aman tenteram hingga terlupa menyediakan persediaan untuk berperang dan hampir-hampir pula terlupa mereka terhadap muslihat mengawal tanah air. Dengan hal itu kian lama darah perwira orang-orang  Melayu itu tentu beransur-ansur lemah serta alat-alat perang yang ada tersimpan di dalam gedung-gedung senjata tentu pula terlampau buruk. Tiadalah sama darjatnya dengan senjata-senjata baru yang ada di dalam tangan orang-orang  Siam-Thai kerang orang-orang  Siam-Thai itu sentiasalah mengadakan senjata-senjata baru di dalam angkatan perangnya.
          Sekalipun begitu keadaannya, tetapi melihat kepada sikap Raja Siam-Thai yang telah berazam penuh hendak menakluk negeri Patani itu. Maka Sultan Muhamad tidaklah berputus harap malahan terus baginda mengumpulkan senjata-senjata lama yang masih ada itu dan mengisytiharkan kepada rakyat jelatanya peperangan yang akan berlaku pada kali ini ialah peperangan yang akan menentukan buruk baik dan hidup matinya Kerajaan Melayu Patani. Serta meminta kepada rakyat jelatanya hendaklah masing-masing bersatu padu dan mengambil bahagian penuh di dalam peperangan pada kali ini untuk mempertahankan kemerdekaan bangsa dan kerajaan. Permintaan Sultan Muhamad itu telah disambut oleh rakyat jelata Patani dengan penuh gembira dan masing-masing berkesanggupan penuh untuk melawan kecerobohan orang-orang  Siam-Thai. Sekalipun terpaksa mereka berkorban di medan perang kerana mempertahankan kermerdekaan itu daripada hidup dijajah dan ditakluk orang-orang  Siam-Thai.
          Setelah hampir angkatan perang Siam itu akan sampai di Patani sekalian rakyat jelata Patani telah dikerah oleh Sultan Muhamad berkumpul di luar kota Istana dan dibahagikan kepada dua pasukan. Pasukan yang pertama diperintah berkawal dalam kubu-kubu di tepi pantai untuk mempertahankan pendaratan orang-orang  Siam-Thai dari kapal perangnya. Pasukan kedua berkawal di hadapan Kota Istana dan segala alat senjata termasuk meriam dan pelurunya telah dibahagi sama rata. Meriam besar Seri Negara dan Seri Patani yang telah pernah mengalahkan orang-orang  Siam-Thai dahulu telah dibawa semula diletak diluar kota hanya menunggu perintah akan melepaskan pelurunya yang handal dan kedua-dua pasukan pertahanan itu hanya menanti saat sahaja akan menghentam serangan orang-orang  Siam-Thai.
          Tiada berapa hari kemudian angkatan perang Siam-Thai yang dikepalai oleh Phraya Kalahum sampailah di Kuala Patani dan berlabuh disitu sementera menunggu saat yang baik akan melancarkan serangannya di dalam saat penting itu. Tiba-tiba dalam golongan orang-orang  besar Sultan Muhamad adalah seorang Siam-Thai bernama “Nai Chan Tung” iaitu berasal dari Siam Ligor telah datang menduduki dalam Patani dengan beberapa orang rakannya ia telah banyak berkhidmat kepada kerajaan Patani sehingga Sultan Muhamad menaruh kerpecayaan penuh kepadanya dan telah dilantik dia menjadai seorang pembesar raja.
          Sewaktu angkatan perang Siam-Thai berlabuh di Kuala Patani itu, timbullah perasaan jahatnya kepada kerajaan Patani dan akan berbuat bakti kepada bangsa dan kerajaannya. Lalu dia mengatur rancangan jahatnya kemudian dengan terburu-buru dia masuk mengadap baginda Sultan Muhamad menyatakan bahawa dia sanggup melawan serangan orang-orang  Siam-Thai. Tetapi hendaklah dilantiknya menjadi ketua dalam pasukan rakyat Melayu yang bertahanan dalam kubu di tepi pantai itu serta meminta kepada sultan mengurnia kepada sebuah perahu yang besar lima hasta cukup dengan senjata-senjata dan meriam. Dengan kerana kepercayaan itu Sultan Muhamad telah meluluskan permintaannya. Setelah itu keluarlah Nai Chan Tung dengan perahunya. Pura-pura menuju kepada pertahanan di tepi pantai itu, di sini mulalah dia menjalankan rancangan khianatnya kepada kerajaan Patani.
        Manakala sampai di tengah malam waktu alam sedang gelap gelita yang akan dapat melindungi kepada seorang yang akan berbuat jahat. Di kala itu keluarlah Nai Chan Tung dengan perahunya menuju ke kapal perang orang-orang  Siam-Thai dan meminta berjumpa dengan panglima Phraya Kalahum. Setelah dapat berjumpa terus dia membuka rahsia pertahanan orang-orang  Melayu Patani dan memberi tahu tempat-tempat perkubuan mereka serta ditunjuk pula tempat-tempat menyimpan senjata perang kemudian dia terus melarikan diri ke Singgora.
        Panglima Phraya Kalahum sangatlah sukacitanya bila dapat mengetahui rahsia pertahanan orang-orang  Melayu itu. Dia yakin pada kali ini angkatan perangnya akan tetap menang serta terbayang-bayang pada matanya bahawa pada kali ini sudah tentu takhta kerajaan Patani akan berguling jatuh ditendang oleh angkatan perangnya.
        Setelah sampai saat yang baik panglima itu mulalah memerintah pasukan meriamnya membedil ke atas kubu-kubu pertahanan orang-orang  Melayu di pantai itu. Dengan serentak dia mendaratkan tenteranya ke pantai dengan berlindung di bawah peluru-peluru yang ditembakoleh pasukan meriam, tetapi malangnya tiap-tiap kali peluru yang dibedil oleh Siam itu telah terjatuh di dalam kubu-kubu
orang-orang  Melayu. Sehingga beberapa kali tembak sahaja banyaklah orang-orang  Melayu itu terbunuh dalam hal itu pun orang-orang  Melayu tetap bertegas hati membedil balas dengan hebatnya. Serangan dan bedilan orang-orang  Siam-Thai itu semakin lama semakin kencang sehingga angkatan perang orang-orang  Siam-Thai itu dapat naik ke pantai serta mengumpul semua kekuatannya menyerbu ke kubu orang-orang  Melayu. Dengan sekejap sahaja kedudukan orang-orang  Melayu itu terkepung dan terputus perhubungannya dengan pasukan yang kedua yang bertahan di hadapan kota dalam negeri. Sekalipun mereka terkepung dan hadapannya telah terkecewa, orang-orang  Melayu dalam kubu itu terus juga melawan dengan tidak berganjak setapak pun. Kesudahannya pertahanan orang-orang  Melayu di pantai itu hancur lebur dan kubu-kubu serta meriam-meriam mereka telah ditawan oleh orang-orang  Siam-Thai.
          Setelah barisan pertahanan orang-orang  Melayu di pantai itu jatuh, panglima Phraya Kalahum telah mengumpul sekali lagi kekuatan perangnya yang tinggal di situ terus melancarkan serangan ke dalam negeri. Serangan panglima itu telah mendapat tentangan yang hebat dair pertahanan orang-orang  Melayu di hadapan Kota Istana dan Sultan Muhamad sendiri telah keluar mengatur pertahanan itu. Meriam Seri Negara dan Seri Patani pun mulalah melepaskan pelurunya yang handal itu menyekat kemaraaan orang-orang  Siam-Thai dan peperangan berapat-rapat dengan menggunakan senjata-senjata pendek pun berlaku dengan hebat.
          Peperangan itu terus berlaku beberapa hari dengan tidak berhenti-henti dan malangnya Sultan Muhamad telah terkena peluru meriam yang dibedil oleh Siam-Thai dengan sekejap sahaja baginda pun gugur serta mangkat ditengah-tengah pertempuran itu, pertahanan orang-orang  Melayu di hadapan Kota Istana itu pun pecah. Serangan orang-orang  Siam-Thai semakin kuat mendesak kesudahannya pertahanan orang-orang  Melayu sampailah saaat akhir dengan berpecah belah membawa diri masing-masing. Kota Istana itu jatuh ke tangan orang-orang  Siam-Thai serta peperangan pun tamat dengan kekalahan orang-orang  Melayu.
          Kekalahan pada kali ini ialah kekalahan yang pertama kali di dalam sejarah Kerajaan Melayu Patani. Dengan kekalahan ini bererti hilanglah kemerdekaan Kerajaan Melayu Patani dan terhapus kedaulatan raja-raja Melayu yang telah dikawal beratus-ratus tahun lamanya. Juga sampailah maksud raja Siam-Thai yang telah lama ingin hendak menakluk negeri Patani dan memperhambakan rakyat jelatanya.
          Kekalahan orang-orang  Melayu Patani pada kali ini adalah dengan kerana beberapa sebab yang besar sekali ialah :
1.    Rahsia pertahanan dan kekuatan orang-orang  Melayu telah pecah, dibuka oleh Nai Chan Tung kepada panglima Siam-Thai.
2.    Sultan Muhamad telah mangkat di dalam peperangan.
3.    Kelengkapan atau senjata perang orang-orang  Melayu tidak memadai.
4.    Kekuatan perang orang-orang  Siam-Thai lebih banyak daripada orang-orang  Melayu.
Setelah semua pertahanan orang-orang  Melayu Patani hancur lebur, bermaknalah negeri Patani telah terjatuh dibawah kongkong penaklukan Siam-Thai. Inilah tarikh awal-awalnya kejatuhan negeri Patani yang berdaulat dan merdeka beratus-ratus tahun semenjak dari pemerintahan Raja Seri Wangsa dahulu, dalam masa kejatuhan ini adalah sangat besar ertinya dalam sejarah kerajaan Melayu Patani. Yang demikian susah dan pengorbanan raja-raja Patani semenjak beratus-ratus tahun pada mempertahankan daulat kerajaan dan kemerdekaan orang-orang  Melayu itu telah jatuh terkongkong di bawah penaklukan Siam-Thai. Dengan kejatuhan inilah membawa negeri Patani terus menerus terkongkong oleh Siam-Thai hingga sampai pada hari ini.
     Setelah tertawan semua pertahanan orang-orang  Melayu itu, maka perkerjaan yang mula-mula sekali dibuat oleh orang-orang  Siam-Thai di dalam Patani ialah menangkap dan membunuh orang-orang  Melayu Patani lelaki perempuan dan kanak-kanak kecil yang tiada bersenjata serta merampas segala harta benda, alat senjata. kemudian Kota Istana al-Marhum Sultan Muhamad itu telah dibakar hingga licin licau.
     Lebih kurang sebulan lamanya orang-orang  Siam-Thai itu bermaharajalela di dalam Patani kerana berhabis-habisan membalas dendamnya kepada orang-orang  Melayu Patani yagn telah disifatkan orang-orang  Melayu itu musuh yang utama. kemudian mulalah panglima Phraya Kalahum itu mengatur undang-undang pemerintahan di dalam Patani mengikut corak undang-undang penakluk dan mengurangkan daulat raja dan orang-orang  besarnya.
     Setelah undang-undang itu selesai diatur maka panglima Siam itu memerintah tenteranya turu ke kapa perang lalu mengangkat suah belayar kembali ke Bangkok dengan membawa beberapa banyak orang-orang  tawanan Melayu termasuk lelaki perempuan dan kanak-kanak serta harta benda rampasa perang. Di antara benda rampasan itu yang lebih berharga sekali pada orang-orang  Melayu ialah meriam-meriam besar yagn dibuat di dalam masa pemerintahan Raja Biru dahulu. sepucuk daripadanya telah dibawa bersama-sama dengan tawanan itu ke Bangkok tetapi sepucuk lagi telah terjatuh ke dalam laut di hadapan Kuala Patani sewaktu orang-orang  Siam-Thai itu hendak membawanya naik ke kapal perang. Hanya sepucuk sahaja yang telah dapat dibawa ke Bangkok. Hingga sekarang meriam besar Patani itu telah diletak menjadi perhiasan di hadapan bangunan Jabatan Menteri Peperangan di Bangkok pada hari ini.
     Undang-undang pemerintahan yang diatur oleh panglima Siam-Thai sebelum kembali ke Bangkok itu ialah melantik seorang daripada orang Melayu menjadi pemerintah negeri Patani sebagai raja patung. Pentadbiran negeri terletak di bawah kuasa jagaan raja Siam-Thai di Ligor dan tiap-tiap tahun dipaksa menghantar ufti Bunga Emas ke Bangkok menandakan taat setia kepada Raja Siam-Thai. Raja Patung yang dilantik oleh orang-orang  Siam-Thai itu ialah Raja Bendang Badang bernama Tengku Lamidin.
     Setelah Tengku Lamidin diangkat oleh Siam menjadi Raja Patani maka kewajipan yang mula-mula sekali di kerajaan ialah memperbaiki Kota Istana dan mengumpulkan semula rakyat jelata Patani yagn telah melarikan ke merata-rata [sic]. Tetapi manakala dilihat kota Istana yang di Kota Gerisik itu sudah hasbis binasa dan rakyat jelatanya sudah sunyi sepi  kerana banyak yang telah mati di dalam peperangan dan banyak pula yang telah ditawan  oleh Siam dibawa ke Bangkok, Tengku Lamidin pun tiadalah berapa suka lagi tinggal di Kota Gerisik itu, lalu baginda berpindah pula membuat istana baru di Kota Perawan serta dilantik seorang Datuk bernama Datuk Pangkalan, duduknya di Kampung Pengkalan Besar menjadi pemerintah di Kota Gerisik itu.
     Sungguhpun Tengku Lamidin ini telah dilantik oleh Raja Siam-Thai menjadi raja patung tetapi dalam hatinya telah tertanam perasaan sedih atas perbuatan orang-orang  Siam-Thai kepada orang-orang  Melayu Patani. Dengan kerana itu baginda telah berazam akan menuntut bela kekalahannya dan membebaskan kerajaan Patani dari kongkongan penaklukan Siam-Thai hanya baginda menunggu sahaja peluang yang baik akan dijalankan maksud itu.
     Dengan hal yang demikian dalam tahun Masehi  1789, baginda pun menghantar utusannya membawa surat kepada Raja Annam (Vietnam) dalam Indochina yang bernama Raja “Ong Chieng Su” mengajak raja itu bermuafakat menyerang negeri Siam. Baginda akan menyerang di pihak selatan Siam dan hendaklah Raja Annam itu menyerang di pihak utaranya.
Gambar : Meriam Seri Patani yang dirampas oleh kerajaan Siam. Sekarang berada di hadapan Pejabat Pertahanan Siam di Bangkok
     Tetapi malangnya surat Tengku Lamidin itu telah dikirim pula oleh Raja Annam kepada Raja Siam di Bangkok. Manakala diketahui oleh Raja Siam akan kehendak Raja Patani itu sangatlah murkanya lalu diperintah kepada panglimanya Phraya Kalahum menangkap Raja Patani itu, tetapi dalam masa itu juga Tengku Lamidin telah siap melengkapkan bala tenteranya. Lalu berangkatlah dengan angkatan tenteranya itu menyerang negeri Tiba manghalau orang-orang  Siam-Thai di situ. kemudian terus menyerang masuk ke jajahan Cenak dengan senang dan akhirnya sampai ke Singgora manakala sampai baginda di Singgora bertempurlah baginda dengan angkatan orang-orang  Siam-Thai yang sedang berkubu di Kampung Bukit Anak Gajah lalu berperanglah di situ beberapa hari lamanya.
     Berita serangan orang-orang  Melayu ke Singgora itu telah sampai kepada Raja Siam-Thai di Ligor lalu dia menghantar bantuan tenteranya menolong orang-orang  Siam-Thai Singgora. Serangan orang-orang  Melayu yang di bawah pimpinan Tengku Lamidin itu kian lama semakin kencang akhirnya pertahanan orang-orang  Siam-Thai Singgora dan Ligor pun melarikan diri ke negeri Phatalung, tetapi terus juga diburu oleh orang-orang  Melayu itu sehingga berlaku pula peperangan di negeri Pathalung.
     Dalam hal yang demikian sampailah angkatan panglima Phraya Kalahum dari Bangkok yang bertujuan hendak menangkap Raja Patani itu. Lalu angkatanya masuk bersatu dengan Raja Singgora dan Raja Ligor bersama-sama menahan serangan orang-orang  Patani itu.
     Pengundurun Tengku Lamidin ini tiadalah mendatangkan kebaikan suatu pun kepada baginda kerana memberi peluang yang baik kepada orang-orang  Siam melancarkan serang balasnya. Oleh itu sepanjang-panjang pengundurannya sentiasa diikut oleh orang-orang  Siam-Thai akhirnya sampailah orang-orang  Melayu Patani dan masing-masing masuk bertahan dalam Kota Perawan kerana menanti serangan orang-orang  Siam itu.
     Oleh kerana angkatan orang-orang  Siam itu telah berkumpul dari tiga angkatan besar jadilah mereka lebih banyak daripada orang-orang  Melayu. Kesudahannya Kota Perawan itupun dapatlah dikepung oleh orang-orang  Siam dan mereka menyekat segala perhubungan orang-orang  Melayu itu dengan rakan-rakannya yang ada di luar kota. Dengan hal yang demikian pertahanan orang-orang  Melayu itu pun lemah akhirnya Kota Perawan itu terjatuh ke tangan orang-orang  Siam dan Tengku Lamidin pun dapat ditangkap oleh orang-orang  Siam. Kemudian baginda telah dihukum bunuh atas kesalahannya menderhaka kepada Raja Siam-Thai di Bangkok. Setelah itu orang-orang  Melayu pun berpecah belah membawa diri masing-masing. Kekalahan ini ialah berlaku dalam tahun 1791 iaitu kekalahan yang kedua di dalam sejarah kerajaan Melayu Patani. Sebagaimana biasa orang-orang  Siam-Thai itu pun masuklah ke dalam Kota Perawan menangkap dan membunuh orang-orang  Melayu serta merampas segala harta benda mereka. Setelah puas mereka bermaharajalela, mereka itu pun kembalilah ke Singgora dengan membawa beberapa orang-orang  tawanan Melayu.
     Sebelum orang-orang  Siam-Thai itu kembali, telah dipililh seorang pembesar Melayu diangkat pula menajadi raja memerintah negeri Patani.  Diangkatnya “Datuk Panglakan” serta diberi gelaran “Luang” kepadanya dengan kerana itu sekalian anak-anak datuk ini semuanya dipanggil “Long” belaka. Dan supaya menjaga orang-orang  Melayu itu daripada menderhaka kepadanya dilantik pula serorang orang besar Siam bernama Laksaman Dajang menjadi penjaga mengawal orang-orang  besar Melayu serta disuruh pula beberapa orang orang-orang  Siam-Thai tinggal berkawal di Patani.
     Semenjak itu tenanglah sedikit hal ehwal di dalam Patani tetapi pemerintahan Datuk Pangkalan selalu berselisih dengan orang-orang  Siam itu kerana tidak ada kebebasan menjalankan pemerintahan negeri hanya sentiasa sahaja dihalang oleh orang-orang  Siam-Thai. Istimewa orang-orang  Siam itu sangat jahat perangainya dan selalu membuat keganasan kepada rakyat Melayu Patani. Oleh itu dalam tahun Masehi  1808 timbullah suatu perselisihan yang hebat di antara Datuk Pangkalan dengan orang-orang  Siam itu.
     Setelah hilang sabarnya, Datuk Pangkalan pun datanglah dengan orang-orangnya menyerang orang-orang  Siam-Thai itu secara terkejut. Sehingga terpaksalah mereka itu dengan ketuanya Laksama Dajang lari menyelamatkan diri ke Singgora. Raja Singgora pula menghantar suratnya ke Bangkok menyatakan bahawa Datuk Pangkalan dan orang-orang  Melayu Patani telah belot kepada Raja Siam-Thai. Sementara itu Raja Ligor dan Raja Singgora pun datanglah dengan bala tenteranya  ke Patani keran hendak menangkap Datuk Pangkalan itu.
     Di Patani pun bersiaplah sekalian kerabat datuk-datuk iaitu Datuk Pangkalan, Datuk Sai, Datuk Pujud dan lain-lain. Masing-masing mengumpul kekuatan menanti kedatang orang-orang  siam Ligor dan Singgora manakala sampai orang-orang  Siam itu berperanglah dengan orang-orang  Patani berbulan-bulan lamanya. Orang-orang Patani di bawah pimpinan datuk-datuk itu pun terus berjuang dengan cara berhabis-habisan, masing-masing berazam teguh akan menghalau orang-orang  Siam itu dari negeri Patani dan membebaskan diri mereka dari kongkong penaklukan Siam-Thai. Dengan berkat azam yang suci itu maka orang-orang  Siam pun kalah lalu mengundurkan diri kembali ke Singgora dan Laksama Dajang pun kembali juga ke Ligor.
     Beberapa bulan kemudian angkatan orang-orang  Siam-Thai dari Bangkok yang diketuai oleh Phraya Kalahum pun sampai pula dengan beberapa buah kapal perang dan di daratan telah diiringi pula oleh orang-orang  Siam Singgora dan Ligor. Peperangan pada kali ini telah berlaku sekali serentak di darat dan di laut. Perjuangan di laut telah berlaku dalam Baruh Laguni dan perjuangan di darat telah berlaku di Kota Gerisik. Akhirnya orang-orang  Melayu Patani pun telah kalah dan Datuk Pangkalan telah mati di dalam perjuangan itu. Sekalian datuk-datuk yang lain telah lari menyelamatkan diri masing-masing.
     Setelah mendapat kemengan itu, masuklah orang-orang  Siam-Thai dengan megahnya memerintah negeri Patani dan ditangkap orang-orang  Melayu membuat tawanan serta merampas segal harta benda mereka itu, dan mengatur pula undang-undang pemerintahan di dalam negeri Patani mengikut kemahuannya.
     Kemudian mulai orang-orang  Siam itu menjalankan rancangan hendak menghapus daulat raja-raja Melayu, iaitu diangkat seorang bangsa Siam-Thai brnama “Nai Khuan Sai” menjadi raja Patani. Setelah sempurna mengatur pemerintahan dalam Patani itu, Panglima Phraya Kalahum pun kembali ke Bangkok bersama-sama dengan angkatan perangnya. Nai Khuan Sai itu ialah anak Raja Cenak yang berasal keturunannya daripada bangsa Cina yang datang berniaga di Cenak. Setelah itu Nai Khuan Sai pun datanglah memerintah Patani membawa beberapa ratus orang-orang  Siam Singgora dan berbuat kampung kediaman di bandar.
     Sejak itu kedaulatan raja-raja Melayu dalam negeri Patani pun mulai terhapus serta kekuasaan penuh telah tercabut ke tangan orang-orang  Siam-Thai pula. Di antara beberapa tahun kemudian raja Khuan Sai itu mati dan diganti oleh adiknya bernama Nai Phya menjadi Raja Patani serta adik dari abangnya itu bernama Nai Him Sai yang bergelar Luang Sawad Phakdi, telah diangkat menjadi penolongnya.
     Dalam masa Nai Phya mejadi raja memerintah negeri Patani itu, keadaan di dalam negeri Patani tidaklah menjadi aman seperti dalam masa pemerintahan raja-raja Melayu dahulu. Oleh kerana orang-orang  Siam telah merasai dirinya lebih berkuasa selalulah mereka berbuat ganas dan kejam atas orang-orang  Melayu Patani, malah selalu pula orang-orang  Siam itu bertempur dengan orang-orang  Melayu. Dengan hal itu menyebabkan orang-orang  Melayu sangat benci kepada mereka.
     Setelah Nai Phya berpendapat bahawa orang-orang  Melayu sentiasa menaruh dendam terhadap orang-orang  Siam maka bimbanglah dalam hatinya jikalau orang-orang  Melayu memberontak menuntut kemerdekaan pula. Oleh itu dikirimnya sepucuk surat kepada Raja Singgora menyatakan hal kebimbangannya di Patani dan Raja Singgora pun menyampaikan hal kebimbangan itu kepada Raja Siam di Bangkok, soal ini telah dibawa mesyuarat dengan para menterinya untuk mengambil keputusan pada menetapkan dasar pemerintahan dalam jajahan takluknya di Patani.
     Permesyuaratan itu telah bersetuju bahawa kekuatan negeri Patani hendaklah dipecah-pecahkan supaya senang memerintah dan dengan jalan ini dapatlah ia melemahkan pendiriajn orang-orang  Melayu. Setelah itu raja Siam mengutus seorang menterinya bernama Phraya Abya Songgram” datang ke Singgora dan berunding dengan Raja Singgora itu untuk membahagikan negeri Patani menjadi tujuh buah wilayah yagn kecil-kecil iaitu Patani, Jering, Nongcik, Jalur, Sai, Reman dan Legeh.
     Yang demikian negeri Patani yang dahulu hanya diperintah oleh seorang raja sahaja dan tidak pernah pula dipecah-pecahkan, sekarang telah terbahagi kepada beberapa buah kawasan. Dibahagi oleh Raja Siam dengan maksudnya hendak melemahkan kekuatan orang-orang  Melayu supaya senang dia memerintah dan mudah memperhambakan orang-orang  Melayu itu mengikut dasar penjajah (imperialisme) iaitu “pecah-pecahkan kemudian perintah”
     Setelah pekerjaan membahagi negeri Patani sudah selesai, Nai Phya telah diangkat menjadi Raja Jering dan diserah kuasa kepadanya menjaga segala wilayah-wilaya yang lain itu. Tetapi segala urusan pemerintahan dalam negeri terletak di bawah perhatian dan kawalan Raja Singgora dan pada tiap-tiap wilaya itu disuruh Nai Phya memilih orang-orangnya yang dipercayai kemudian dihantar memerintah dalam tiap-tiap buah wilaya itu serta diberi taraf kepada meraka itu seperti raja-raja juga.
     Adapun orang-orang  yang dipilih oleh Nai Phya dan dihantar memerintah di dalam wilayah-wilayah yang tersebut itu ialah demikian :
1.    Tuan Haji Sulong diangkat menjadi Raja Patani duduknya di Kota Gerisik
2.    Tuan Nik diangkat menjadi Raja Nongcik duduknya di Kota Nongchik.
3.    Tuan Mansur diangkat menjadi Raja Reman duduknya di Kota Baharu.
4.    Tuan Jalur diangkat menjadi Raja Jalur duduknya di Jala.
5.    Nik Dah diangkat menjadi Raja Legeh duduknya di Kota Legeh.
6.    Nik Dih diangkat menjadi Raja Sai duduknya di Jerenga.

Adapun Tuan Haji Sulong yang menjadi Raja Patani itu ialah seorang daripada anak cucu keluarga Datuk Pangkalan duduknya dengan berumah tangga di kampung Gerisik. Selain daripadanya ialah orang-orang  yang dipercayai oleh Nai Phya belaka. Di dalam masa Tuan Haji Sulong menjadi Raja Patani, baginda sangatlah mengambil berat terhadap urusan agama Islam, dan baginda inilah yang membina masjid di pintu gerbang yagn masih ada bekasnya di Kampun Gerisik hari ini.
     Dalam tahun Masehi  1871, Tuan Jalur yang memerintah wilayah Jala itu pun mangkat dan diganti oleh anaknya bernama Tuan Bangkok menjadi pemerintah di situ. Kemudian daripada itu Tuan Nik Raja Nongchik pula mati dan diangkat Tuan Kecik adik kepada Tuan Sulong Raja Patani menggantinya memerintah di wilayah Nongchik itu. beberapa tahun kemudian Tuan Mansur Raja Reman pun mati pula dan diganti oleh anaknya bernama Tuan Kundur. Demikianlah adanya pemerintahan di dalam negeri Patani sewaktu dia telah dijajah oleh kekuasaan orang-orang  Siam itu cara pemerintahannya adalah di bawah kongkongan penjajahan mereka.
     Mulai dari sini negeri Patani pun adalah berkaitan dengan ngeri Kedah pul. Oleh itu eloklah kita bawakan sedikit sejarah yang berkenaan dengan negeri Kedah itu dalam masa ia ada berhubung dengan sejarah kerajaan Melayu Patahi dan orang-orang  Siam-Thai pada masa itu supaya senang kita memahamkannya.
     Pada masa itu negeri Kedah telah diperintah oleh seorang Raja Melayu yang bergelar Sulatan Ahmad Abdul Halim Syah atau Tengku Pengiran namanya. Tetapi akhirnya baginda ini telah ditewaskan oleh Raja Siam-Thai lalu lari menyelamatkan dirinya ke Melaka dan di negeri Kedah pun diperintah oleh seorang anak raja Siam Ligor.
     Pada tahun Masehi  1831 adalah seorang putera dari keluarga Raja Kedah itu bernama Tunku Kudin telah mengumpul sekalian rakyat Kedah yang masih taat setia kepada rajanya melancarkan serangan ke atas orang-orang  Siam di Kedah itu. Akhirnya dapatlah merebut kembali Kota Istana yang diduduki oleh Raja Siam dan Raja Siam denga orang-orang  besarnya lari kembali ke Singgora. Kemudian dia telah berunding dengan Raja Singgora serta dengan bapanya Raja Ligor untuk mengadakan sebuah angkatan yang besar bagi mengalahkan semula orang-orang  Kedah itu. Masing-masing un bersetuju atas cadangan ini lalu mereak mengadakan sebuah angkatan perang yagn bergabung dari orang-orang  Siam Singgora dengan orang-orang  Siam Ligor.
     Angkatan orang-orang  Siam ini telah datang melancarkan serang balas yang hebat ke atas negeri Kedah. Tunku Din sendiri telah keluar memimpin rakyat Kedah itu melawan serangan orang-orang  Siam-Thai. Peperangan ini telah berlaku dengan berlanjutan  tetapi serangan angkatan orang-orang  Siam itu tidak berjaya hendak meneawaskan orang-orang  Kedah, dan terpaksa Raja Siam itu mengundurkan angkatan perangnya kembali ke Singgora. Sepanjang-panjang pengudurannya telah turut diserang oleh Tunki Din dengan rakyatnya hingga sampai juga ke Singgora.
     Melihat kepada serangan orang-orang  Kedah itu telah sampai dalam negerinya, Raja Singgora pun memberitahu hal ini kepada Raja Siam di Bangkok serta meminta bantuan dengan segeri kepadanya. Sepucuk surat pula telah dihantar kepada Raja Nai Phya di Patani meminta bantuan juga kepadanya buat melawan orang-orang  Kedah itu. Setelah suratnya sampai di Patani, Raja Nai Phya pun mengarah sekalian raja-raja dari eman buah wilayah dalam Patani itu membawa rakyat masing-masing datang berkumpul di wilayah Jering (Jambu) kerana akan dihantar kepada Raja Singgora. Raja Patani, Raja Nongchik, Raja Legeh dan Raja Yala membawa rakyat masing-masing berkumpul di Jering hanya Raja Sai dan Raja Remen sahaja yang tidak datang. Nai Phya pun menyuruh raja-raja yang tersebut membawa rakyatnya berjalan ke Singgora, tetapi raja-raja itu enggan menjalankan suruhannya kerana mereka telah tahu rakyat-rakyatnya akan dibawa berperang melawan saudara-saudaranya orang-orang  Kedah iaitu saudara-saudara yang sebangsa dengan mereka juga. Di sini terpaksalah Nai Phya menjalankan kekerasan dan ugutan hingga empat orang raja-raja itu sanggup hendak membawa rakyat-rakyatnya ke Singgora baharulah berhenti kekerasannya.
Gambar : Masjid lama Gerisik, Patani atau digelar Pintu Gerbang Hang Tuah

     Dalam hal yang demikian empat orang raja-raja ini telah berunding dengan sulit untuk memutuskan soal ini. Keputusannya masing-masing telah tetap tidak mahu membawa rakyatnya ke Singgora berperang dengan saudaranya orang-orang  Kedah itu dan masing-masing telah bersetuju mahu memberontak melawan Raja Nai Phya dan orang-orang  Siam yang ada di dalam Patani.
     Setelah itu empat orang raja-raja ini telah memerintah rakyat masing-masing mengakat senjata dan bersatu menyerang orang-orang  Siam yang ada di dalam Patani itu.  Oleh kerena orang-orang  Siam itu sangat sedikit bilangannya tidak berdaya mereka hendak melawan pemberontakan orang-orang  Melayu. Banyaklah orang-orang  Siam itu telah dapat dibunuh oleh mereka dan banyak pula yang sempat melarikan diri ke Singgora. Tetapi telah dibunuh juga oleh orang-orang  Melayu itu hingga sampai ke Tiba, Cenak dan masuk ke dalam sempadan Singgora lalu orang-orang  Melayu itupun bertemulah dengan saudaranya orang-orang  Kedah yang sedang berperang dengan orang-orang  Siam Singgora itu.
     Orang-orang Melayu Patani itu masuklah pula bersatu dengan saudaranya orang-orang  Kedah sama-sama melawan orang-orang  Siam-Thai. Di dalam peperangan ini orang-orang  Melayu Patani telah berkubu di Bukit Anak Gajah. Sewaktu peperangan sedang berlaku dengan hebat itu, sampailah angkatan orang-orang  Siam-Thai dari Bangkok diketuai oleh Phray Phrak Khlang yang dihantar oleh rajanya membantu Raja Singgora. Angkatan ini ialah suatu angkatan perang yang besar lengkap dengan senjata-senjata yang banyak, setelah di amsuk bersatu dengan orang-orang  Siam Singgora itu bertambah besar kekuatan mereka melawan orang-orang  Melayu. Tetapi orang-orang  Melayu itu terus juga melawan dengan tidak mengendahkan kekuatan musuhnya yang lebih besar itu. Dalam hal yang demikian Tengku Kudin panglima angkatan orang-orang  Kedah itu mati dalam perjuangan, dan mulalah orang-orang  Kedah itu berpecah-belah melarikan diri masing-masing.
     Orang-orang Melayu Patani bila melihat saudaranya itu telah berpecah-belah, serta mereka telah percaya tidak akan berdaya melawan orang-orang  Siam-Thai yang lebih besar kekuatannya itu, mereka pun terpaksa mengundurkan diri kembali ke Patani dan masing-masing berazam akan membuat pertahanan yang akhir di Patani.
          Setelah itu panglima Siam-Thai Phray Phrak Khlang telah mengumpul semua angkatan perang orang-orang  Siam itu dan dibahaginya menjadai dua pasukan. Pasukan yagn pertama dihantar menyerang orang-orang  Kedah dan pasukan yang kedua dihantar menyerang orang-orang  Patani. Pasukan yang pertama itu mulalah melacarkan serangannya ke atas negeri Kedah dengan menumpahkan semua kekuatannya. Kesudahannya negeri Kedah dapatlah ditakluknya kembali dan diangkat Raja Siam yang dahulu juga menjadi pemerintah siam di situ. Setelah selesai peperangannya dengan orang-orang  Kedah itu beredarlah pasukan yang kedua dengan diketuai sendiri oleh panglima Phray Phrak Khlang menuju ke Patani dengan beberapa buah kapal perangnya. Setelah sampai di Patani diapun mendaratkan orang-orangnya di pantai Kuala Patani kemudian menyerbu masuk ke dalam negeri. Orang-orang Melayu di bawah pimpinan empat orang rajanya bertahanlah dengan bersungguh-sungguh.
          Adapun Tuan Sulong yang menjadi pemerintah negeri Patani pada masa itu ialah saudara kepada Sultan Kelantan yang beranam Long Muhamad. Bila diketahuinya negeri Patani diserang oleh orang-orang  Siam itu baginda Long Muhamad pun menghantar bantuan sepasukan rakyat Kelantan menolong orang-orang  Patani yang berperang melawan orang-orang  Siam-Thai. Pasukannya diketuai oleh Raja Muda Kampung Laut serta anaknya Tengku Besar (Tengku Muhamad) dan Raja Banggol. Demikian juga Sultan Terengganu telah menghantar sebuah angkatan bantuannya ke Patani dengan diketuai oleh Panglima Tengku Idris, Panglima Encik Kulan, Panglima Wan Kamal dan Panglima Encik Ismail. Setelah angkatan bantuan ini sampai di Patani, masuklah bersatu dengan orang-orang  Patani berperang melawan orang-orang  Siam.
          Peperangan ini telah berlaku dengan sehabis-habis dahsyat dlaam sejarah Patani. Phray Phrak Khlang telah memerintah orang-orang  Siam itu berperang dengan berhabis-habisan. Dia tidak mengindahkan kerugian dan kebinasaan yang ditanggungnya lebih banyak daripada orang-orang  Melayu itu. Kesudahannya pertahanan orang-orang  Melayu pun roboh dan pintu kemenangan mulalah terbuka kepada orang-orang  Siam itu. Orang-orang Melayu yang tidak berkuasa mempertahankan serangan mereka. Terpaksalah berpecah belah menyelamatkan diri masing-masing. Rakyat-rakyat Kelantan dan Terengganu sekali dengan panglima-panglimanya telah mengundur kembali ke negeri masing-masing.
          Tuan Sulong Raja Patani dengan Tuan Kundur Raja Jalur telah undur dengan anak isterinya berlindung di Kelantan. Sementera itu Tuan Kecik Raja Nongcik dan Nik Dah Raja Legeh mengundurkan diri ke ulu negeri Patani tetapi diburu juga oleh orang-orang  Siam hingga sampai ke daerah Jarum sempadan Perak. Berlaku pula perjuangan di antara dua orang raja itu dengan orang-orang  Siam akhirnya Tuan Kecik mati dalam perjuangan dan Nik Dah berlepas ke Perak.
          Setelah raja-raja Patani itu habis melarikan diri masing-masing, maka rakyat di dalam negeri Patani pun menderitalah kesengsaraan kerana ditindas, dibunuh dan dicabul oleh orang-orang  Siam-Thai yang menyangka dirinya telah menang di dalam segala-gala perjuangan itu. Segala harta benda dan makanan orang-orang  Melayu itu seperti padi, berass, ayam, itik dan lain-lain habis dipunggahnya bawa ke kapal sebagai harta rampasan perang.
          Sesudah puas mereka bermaharajalela di dalam Patani itu. Phray Phrak Khlang panglima Siam telah mulai pula melengkapkan angkatan perangnya akan melanggar negeri Kelantan dan Terengganu kerana menuntut bela atas perbuatan raja-rajanya yang telah membantu orang-orang  Melayu Patani berperang dengan orang-orang  Siam itu.
          Bila kala hal ini telah diketahui oleh Long Muhamad Sultan Kelantan itu, bimbanglah baginda nanti negeri Kelantan pula diserang dan ditakluk oleh orang-orang Siam-Thai itu. Dan supaya mengawal negeri Kelantan jangan menanggung nasib seperti negeri Patani itu. Maka Sulatan Kelantan itu teah menghantar utusan damainya kepada Phray Phrak Khlang mengaku hendak tunduk kepada Raja Siam serta sanggup membayar kesalahannya itu dengan wang sebanyak 50,000 dolar. Dan Tuan Sulong Raja Patani dengan Tuan Kundur Raja Jalur serta anak isterinya yang ada di Kelantan itu, terpaksalah dihantar kembali kepada panglima Siam itu. Dan cadangannya hendak menyerang negeri Kelantan pun diubah.
          Kemudian panglim Siam-Thai itu menghantar utusannya kepda Sultan Terengganu memperingatkan kesalahannya membantu orang-orang  Patani dan memaksa hendaklah menghantar kembali sekalian orang-orang  Patani yang telah lari berlindung di Terengganu iut. Istimewa panglima-panglima Patani iaitu Panglima Damit, Panglima Mahmud, Panglima Pik dan Panglima Ahmad. Sekalian orang-orang  Patani dengan panglima-panglimanya ini telah diserahkan oleh Sultan Terengganu kepada panglima Siam yang sedang menunggu di Patani.
          Setelah pemerintahan di dalam negeri Patani diatur semula oleh panglima Siam itu. Maka dalam bulan September tahun 1832 angkataan perang orang-orang  Siam-Thai itu pun kembali ke Bangkok dengan membawa beberapa banyak orang-orang  tawanan perang serta dengan harta benda rampasan di dalam Patani. Orang-orang tawanan Melayu Patani yang dibawa oleh Siam pada kali ini tidak kurang daripada 4,000 orang iaitu lelaki, perempuan dan kanak-kanak. Azab sengsara yang ditanggung oleh orang-orang  Melayu yang dikurung di dalam kapal-kapal perang Siam-Thai sewaktu di dalam perjalanan ke Bangkok itu tidaklah dapat hendak dituliskan di sini dan beberapa banyak pula di antara mereka itu telah mati di dalam kapal sebelum sampai di Bangkok.
          Sebelum orang-orang  Siam itu kembali raja-raja di dalam wilayah-wilaya kecil dalam Patani yang telah ditangkap atau mati itu pun telah diangkat semula oleh panglima Siam menggatinya iaitu :
Di Patani diangkat Nik Yusuf orang Gerisik
Di Nongcik diangkat Nai Ming Orang Siam Cenak
Di Jala diangkat Nai Him Sai (Luang Sawad Phakdi) penolong raja Nai Phya
Di Legeh diangkat Nik Bongsu seorang yang setia kepada Nai Phya.
          Adapun Nai Him Sai Jala itu duduknya di Kubang Teras, Nik Bongsu Raja Legeh duduknya di Tanjung Mas, Nik Yusuf Raja Patani dudukunya di Kuala Bekah iaitu di sebelah hilir gedung Cina hari ini.
          Semenjak dari masa itu negeri Patani dan Kedah duduklah di bawah kekuasaan Raja Siam iaitu di Kedah diperintah oleh anak Raja Siam Ligor dan di Patani diperintah oleh rajaa-raja yang diletak oleh orang-orang  Siam-Thai.
          Pemerintahannya terus menerus berjalan hingga sampai pada tahun Masehi  1838, adalah dua orang anak raja dalam keluarga raja-raja Kedah bernama Tunku Muhamad Saad dan Tunku Abdullah. Kedua anak raja ini telah mengatur rancangan gerakan sulit yang bertujuan hendak menggulingkan kuasa raja Siam dan merampasa kembali takhta kerajaan Melayu Kedah. Setelah sampai hari baik ketika baik, rakyat-rakyat Kedah di bawah pimpinan kedua anak raja itu terus menyerang orang-orang  Siam. Denga sekali serentak sahaja dapatlah merebut kembali Kota Istana dan membunuh orang-orang  Siam yang ada di dalam Kedah tetapi rajanya telah sampai lari ke Singgora dengan rakyatnya.
          Orang-orang Siam yang melarikan diri itu terus sahaja diburu dan diusir oleh orang-orang  Kedah hingga sampai di Cenak. Di sini orang-orang  Siam Singgora pun datanglah membantu rakan-rakannya menahan serangan orang-orang  Kedah itu. Dengan kerana serangan orang-orang  Kedah itu semakin lama semakin kencang, raja Singgora pun menghantar utusannya ke Bangkok, meminta bantuan dengan segera. Dan utusan yang seumpama itu dihantar juga kepda Raja Nai Phya di Jering.
          Raja Nai Phya pun memanggil sekalian raja-raja dari wilayah-wilayah yang tersebut membawa rakyat masing-masing ke Singgora. Oleh sebab raja-raja itu orang yang taat setia kepada Raja Nai Phya dan telah lama menjadi perkakasan pemerintahan kepadanya, tidaklah menjadi apa-apa halangan lagi hanya raja-raja itu membawalah rakyat masing-masing ke Singgora. Tetapi bila mereka sampai di Cenak banyaklah di antara mereka tidak suka membantu orang-orang  Siam. Tambahan pula mereka akan dibawa berperang melawan saudaranya orang-orang  Kedah, rakyat-rakyat Patani yang lari itu telah masuk bersatu dengan saudaranya orang-orang  Kedah berbalik melawan orang-orang  Siam.
          Peperangan ini terus berlaku beberapa lamnya hingga orang-orang  Melayu pun lemah. Tunku Muhamad Saad ketua orang-orang  Kedah itu telah mati di dalam perjuangan dan Tunku Abdullah pula mengundurkan orang-orangnya kembali ke Kedah. Di belakang pengundurunnya diikuti pula oleh serangan orang-orang  Siam itu hingga sampai di Kedah. Oleh kerana kekuatan orang-orang  Kedah itu telah habis digunakkan di dalam peperangan, dengan senang sahaja negeri Kedah pun jatuh semula ke tangan orang-orang  Siam. Orang-orang Melayu Patani yang bersatu dengna orang-orang  Kedah itu pun terpaksalah lari membawa diri masing-masing sahaja.
          Setelah tamat peperangan itu , Raja Singgora pun menyuruh raja-raja Patani dari emam buah wilayah itu kembali membawa rakyat masing-masing kerana dia telah merasai bimbang kalau-kalau berbangkit pula pemberontakan orang-orang  Melayu Patani. Tiada beberapa tahun kemudian, Raja Nai Phya yang memerintah di wilayah Jering pun mati. Kematiannya telah diberitahu kepada pusat pemerintahan di Singgora, oleh itu dengan perintah Raja Singgora telah dilantik Nai Him Sai Raja Yala menjadi raja memerintah di Jering itu menggantinya. Kemudian dilantik pula orang Siam Singgora bernama Nai Muang menjadi raja memerintah di Jala, dan Nai Muang telah berpindah dari Kota Kubang Teras mendiri sebuah kota yang baharu di Kampung Seting iaitu di seberang Sungai Besirat.
          Di dalam tahun Masehi  1842 negeri Kelantan telah diperintah pula oleh Sultan Tuan Senik Mulut Merah. Pada tahun ini udara perselisihan sedang mendung dengan gelapnya di kalangan keluarga diraja Kelantan. Perselisihan ini telah berlaku di antara sultan itu dengan beberapa orang saudaranya iaitu Sultan Dewa (Raja Penambang), Raja Muda, Tengku Seri Indera dan Tengku Muhamad (Tengku Besar) anak Raja Muda Kampung Laut. Dengan kerana perselisihan ini telah membawa berlaku permusuhan dan peperangan saudara di antara sultan itu dengan raja-raja yang tersebut.
          Setelah peperangan saudara itu berlaku beberapa lama dan tiada terbayang pun harapan akan dapata berdamai dengan baik. Maka kedua belah pihak itu telah mengadukan hal ini kepada Raja Siam di Bangkok, Pengaduan ini telah diterima dengan baik oleh Raja Siam lalu dia menghantar seorang orang besarnya bernama Phraya Thai Nam bersama-sama dengan Raja Ligor dan Raja Singgora datang ke Kelantan kerana menjadi orang tengah mendamaikan peperangan itu.
          Berbetulan dengan masa raja-raja Siam-Thai itu berkerja mendamaikan peperangan saudara di Kelantan, Nai Him Sai (Luang Sawad Phakdi) Raja Jering pun mati dan diangkat Nik Yusuf Raja Patani menggantinya. Oleh sebab di Patani tidak ada raja yang memerintah lalu dipersilakan Tengku Muhamad (Tengku Besar) anak Raja Muda Kampung Laut itu berangkat ke Patani kemudian dengan rasmi dilantik menjadi raja memerintah negeri Patani. Manakala segala pentadbiran di dalam negeri terletak di bawah kawalan dan perhatian Raja Siam Singgora demikian juga Sultan Dewa telah berangkat ke Ligor dan tetaplah dia tinggal di sana.
          Sewaktu keberangkatan Tengku Muhamad ke Patani itu adalah diiringi oleh seorang saudara perempuannya bernama Tengku Tuan Menanjiwa dan Tengku Banggol ayah saudaranya serta kaum keluarganya telah bersama-sama mengikut. Demikian juga Tengku Long Ahmad Raja Bukit, sekalian raja-raja itu pun tinggallah bersama-sama dengan Tengku Muhamad di Patani.
          Pada mula-mulanya Tengku Muhamad itu telah berbuat kampung istana di  Seberang Hujung Tanjung, sekarang dipanggil Kampung Tengku Besar Semerak. Tetapi tiada berapa lama kemudian telah didapati kawasan yang kampung itu tidaklah berapa baik dan sesuai dengan keadaan geografi, lalu masing-masing berpindah. Membuat  kota istana yang baharu Kampung Cabang Tigaa dan di situlah telah kekal menjadi kota istana raja-raja Patani hingga sampai pada hari ini.
          Setelah Tengku Muhamad itu dilantik menjadi Raja Patani, lalu digelarkan Sultan Muhamad dan di sisi Raja Siam Bangkok digelarkan “Phraya Tani”. Dengan kehendak dan perintah Raja Siam itu juga sekalian keluarga diraja yang mengikut bersama-sama dengan Tengku Muhamad ke Patani itu telah diberi jawatan masing-masing. Raja Banggol dilantik menjadi Phraya Phitak ertinya jawatan penasihat kepada Sultan Patani dan raja-raja yang lain daripadanya telah dilantik menjadi pegawai-pegawai tinggi kerajaan belaka. Setelah dua tahun kemudian Raja Banggol dan Tengku Long Ahmad Raja Bukit itu , kedua-duanya telah mangkat di Patani. kemudian dilantik Tengku Tengah anak kepada Raj Banggol itu menjadi Phraya Phitak mengganti ayahandanya.
          semenjak itu negeri Patani mulalah diperintah oleh raja-raja dari Kelantan yang dilantik oleh Raja Siam. Cara-caranya pemerintahan dalam negeri telah dijalankan di bawah perhatian dan kawalan Raja Siam yang berpusat di Singgora. Yang demikian daulat Sultan Muhamad dan orang-orang besarnya itu keadaannya tidak lebih dari hujung telunjuk Raja Siam, ertinya pemerintahan dijalankan mengikut kuit telunjuk Raja Siam atas kemahuannya kerana mengikut kepada dasar-dasar  penaklukan mereka. Hanya di dalam abad pemerintahan Sultan Muhamad ini, suasana di dalam negeri Patani adalah kian bertambah aman tenteram.
          Tiada beberapa lama kemudian, Nai Ming raja Nongcik telah dicabut oleh Raja Siam dari jawatan, alasannya kerana lemah di dalam pemerintahan, kemudian dilantik Nai Kliang, anak kepada Nai Him Sai bekas Raja Jering dahalu, menjadi Raja Nongcik menggantinya. Nai Kliang ini telah memindahkan pusar pemerintahannya dari kota Nongcik kepada Kampung Tok Jong.
          kemudian dari situ, Nai Muang Raja Jala pula dipecat dari jawatannya oleh Raja Siam kerana kurang kelayakannya dalam pemerintahan. Kemudian dilantik Tengku Muhamad Saleh (Tuan Batu Putih) menjadi raja Jala dan Tengku Muhamad Saleh ini telah memindahkan semual pusat pemerintahannya ke Kampung Jalur seperti dahulu kala.
          Kemudian dari itu Nik Dah Raja Sai yang duduk di kota Jerenga pun mangkat dan dilantik Tengku Jalaludin (Nik Lebai) anaknya menjadi raja di situ pula.
          Dalam tahun Masehi  1853, Nik Yusuf Raja Jeringpun mangkat, raja inilah yang digelar oleh orang-orang  Patani Raja Tok Ki.Kemudian Raja Siam Singgora telah melantik Sultan Dewa yang duduk di negeri Ligor menjada Raja Jering itu menggantinya. Setelah itu berpindahlah Sultan Dewa dengan anak beranaknya memerintah di Jering dan anaknya yang bernama Tengku Sulong telah diangkat menjadi penolongnya dengan bergelar Luang Suthon Raja.
Lebih kurang setahun lamanya Sultan Dewa menjadi raja memerintah di Jering itu pun mangkat dan anaknya Tengku Sulong itu telah meminta izin kepada Raja Siam, berpindah kembali ke Kelantan keran ia tidak suka lagi tinggal di Jering. Kemudian dilantik Nik Timun anak kepada Raja Nik Yusuf bekas Raja Jering yang dahulu itu, menjadi raja memerintah di Jering pula.
          Dalam tahun Masehi  1856 Sultan Muhamad Raja Patani pun mangkat, baginda ini telah dimakamkan di perkuburan Tanjung Datuk. Oleh itu digelarkan orang al-Marhum Tanjung hingga sampai sekarang. Kemangkatan baginda ini telah meninggalkan empat putera dan dua orang puteri iaitu :
1.    Tengku Puthih kemudian menjadi Raja Patani yang kedua.
2.    Tengku Bulat (Tengku Haji Tua)
3.    Tengku Husin (Tengku Sulaiman Sharifudin) Raja Patani yang keempat.
4.    Tengku Tenal bersuami kepada Raja Remen.]
5.    Tengku Labuh bersuaami kepada Tengku Cik anak Tengku Banggol.
Kemudian dengan kehendak dan persetujuan Raja Siam telah melantik Tengku Putih menjadi Raja Patani mengganti ayahandanya dan diberi gelaran “Phraya Wicit Phakdi”
          Di dalam masa pemerintahan Tengku Putih ini, negeri Patani telah mulai bertambah-tambah ramai penduduknya terutama abli perniagaan  bangsa-bangsa asingpun banyaklah yang datang berniaga di dalam Patani. Di antara mereka itu yang lebih banyak sekali ialah orang-orang  Cina, dengan kerana banyaknya orang-orang  mereka lalu dipanggil kampung yang didudukinya dengan nama Kampung Cina hingga terkenal sampai hari ini.
          Tiada berapa tahun kemudian Tuan Kundur Raja Remen, Tengku Muhamad Saleh (Tuan Batu Putih) Raja Jala yang kedua pun mangkat dilantik Tuan Timun anak Tuan Kundur itu menjadi Raja Remen bergelar Phraya Ratna Phakdi, raja inilah yang berpindah berbuat kampung di Kota Baharu, Remen yang ada sekarang ini. Di Jala telah dilantik Tengku Sulaiman (Tuan Kecik) anak Tengku Muhamad Saleh menjadi raja mengganti ayahandanya dengan bergelar Phraya Narongrit Phakdi.
          Demikian juga di wilayah Nongcik, setelah kematian rajanya yang bernama Nai Kliang lalu dilantik seorang pembesar Siam bernama Nai Ming menjadi raja di situ dengan bergelar Phraya Phitera Phibit Narobit.
          Kemudian daripada itu Tengku Jalaludin (Nik Lebai) Raja Sai dan Tuan Timun Raja Remen mangkatlah pula, lalu dilantik Tengku Abdul Kadir (Nik Kalpit) anak Tengku Jalaludin itu menjadi Raja wilayah Sai dengan bergelar Phrak Suria Suthon Phakdi dan dilantik Tengku Abdul Mutalib (Nik Pik) menjadi penolongnya dengan bergelar Phrak Ratna Montri. Tengku Abdul Kadir inilah yang mendirikan kota istana raja di Selindung Bayu atau Teluban pada masa ini.
          Di wilayah Reman, dilantik Tengku Abdul Kadis (Tuan Jagung) adik kepada Tuan Timun tadi menjadi rajanya bergelar Phraya Ratna Phakdi dan dilantik Tuan Bali Jawa anak Tuan Timun itu dan Tuan Lebeh anak Tengku Abdul Kandis menjadi penolong keduanya. Tengku Putih telah terus menerus menjalankan pemerintahan di dalam negeri Patani dengan secara aman tenteram hingga memasuki tahun Masehi  1881 baginda pun mangkat setelah menduduki atas takhta kerajaan Patani selama 26 tahun. Di dalam masa hayat itu baginda telah mempunyai dua orang isteri.
          Di Kelantan beristeri kepada Tengku Raja puter kepada Sultan yang menjadi penasihat raja (Phraya Phitak). Pada masa baginda mangkat itu ialah sewaktu baginda sedang gering di Kelantan hingga baginda mangkat pun di Kelantan juga oleh itu baginda digelarkan al-Marhum Mangkat di Kelantan.
Gambar : Sungai ini digali oleh Tengku Abdul Kadir, Raja Patani bertempat di Kampung Perigi; Patani.

          Kemangkatan baginda telah meninggal seorang putera dan eman orang puteri iaitu :
          Dengan isteri di Kelantan
1.    Tengku Besar (Tengku Timun)ialah Raja Patani yang ketiga.
2.    Tengku Embong isteri Raja Bendahara Kelantan.

Dengan isteri di Patani
3.    Tengku Embik isteri Tengku Muhamad Kelantan
4.    Tengku Tengah isteri Raja Yala
5.    Tengku Pik isteri Tengku Muhamad anak Raja Belat.
6.    Tengku Patani isteri Tengku Besar Indera Raja Kelantan.
7.    Tengku Muhamad menjdi Raja Muda dalam pemerintahan Tengku Sulaiman Sharifudin.
Manakala Tengku putih sudah mangkat lalu dilantik puteranya Tengku Besar (Tengku Timunduduki takhta kerajaan Patani menjadi Raja yang ketiga. Adapun pada masa itu pangkat jawatan penasihat raja belum lagi dilantik orang-orang  yang memangkunya kemudian daripada mangkat Raja Banggol itu lalu dilantik Tengku Tengah anak Raja Banggol menjadi Penasihat Raja. Tengku Sulaiman menjadi Raja Muda dan dilantik Tengku Abdul Kadir anak Tengku Tengah menjadi Penolong Raja.
     Dalam antara itu juga Nai Ming Raja Nongcik pun mati dan diganti oleh seorang orang Siam bernama Nai Ming serta diberi gelaran Phraya Phitcra Kibal.
     Tidak berapa lama kemudian Nik Timun Raja Jering pun mangkat lalu dilantik adiknya Nik Mat menjadi raja pemerintah di situ dengan diberi gelaran Phrya Phipit Sinamat.
     kemudian daripada itu Nai Ming Raja Nongcik pun mati serta Nik Bongsu Raja Legeh pula mangkat lalu dilantik Nai Tad menjadi Raja Nongcik dan dilantik Tuan Andak anak Nik Bongsu itu menjadi Raja Legeh dengan bergelar Phraya Pupha Phakdi.
          Tengku Besar (Tuan Timun) telah menduduki atas takhta kerajaan Patani selama sembilan tahun iaitu menjadi Raja Patani yang ketiga menjalankan pemerintahan di bawah kawaland an perhatian Raja Siam-Thai. Dengan kerana negeri Patani pada masa itu telah terjatuh ke bawah penaklukan Raja Siam maka terkawallah soal keselamatan negeri dari diserang oleh musuh-mushnya. Oleh itu dalam sejarah pemerintahan Tengku Besar ini negeri Patani tidaklah lagi berlaku permusuhan mahupun musuh-musuhnya dari luar negeri atau musuhnya yang ada di dalam negeri iaitu orang-orang  Siam-Thai sendiri.
          Hingga sampai pada tahun Masehi  1890 Tengku Besar pun mangkat serta dimakamkan diperkuburan (Tok Ayah) yang ada sekarangini. Kemangkatan baginda telah meninggalkan dua orang putera dan tiga orang puteri serta mempunyai tiga orang isteri iaiu Cik Wa, Mek Puteh dan Cik Mek Cik Teh.
          Dengan isteri Cik Wa :
1.    Tengku Besar, isteri Raja Muda Kelantan.
2.    Tengku Wok, isteri Tengku Husin (Tengku Besar Nai RA)
Dengan isteri Mek Putih :
3.    Tengku Nik Haji (Tengku Ismai)
Dengan isteri Cik Mek Cik Puteh iaitu:
4.    Tengku Tengah, isteri Tengk Ngah putera Raja Sai.
5.    Tengku Muhamad (Tengku Cik Ku Mat)
Setelah Tengk Besar mangkat lalu dilantik Tengku Sulaiman Sharifudin Raja Muda, menaiki takhta kerajaan Patani dengan bergelar Sultan Sulaiman Sharifudin iaiut menjadi Raja Patani yang keempat dalam zaman penaklukan Siam-Thai, dan bergelar di dalam bahasa Siam Phraya Wicit Phakdi.
     Kemudian dilantik Tengku Muhamad putera Tengku Besar iut juga menjadi Raja Muda, pada masa itu Tengku Tengah yagn memangku jawatan penasihat raja (Phraya Phitak) itupun mangkat pula lalu diganti oleh anaknya Tengku Abdul Kadir memangku jawatan itu. Serta dilantik Tengku Abdul Kadir putera Sulaiman itu menjadi Penolong Raja (Phra Phipit Phakdi)
     Di dalam masa pemerintahan Sultan Sulaiman Sharifudin ini, banyaklah baginda membuat kebaktian terhadap keselamatan dalam penghidupan rakyat jelata Patani. Di antaranya ialah menggali sebuah sungai kerana membetulkan sugan Patani yang bengkok iaitu dikenali mulai dari kampung Perigi hingga sampai ke kampung Anak Buluh panjangnya lebih kurang 7 kilometer, sekarang telah terkenal dengan mana Sungai Baru.
     Selain dari itu, baginda sangatlah mengambil berat dalam urusan agama Islam dan dengan kehendaknya juga telah terbina sebuah masjid batu yang besar hingga sekarang masih terdiri dengan kukuhnya iaitu terkenal dengan nama Masjid Besar Cabang Tiga yang ada pada hari ini. Baginda Sultan Sulaiman Sharifudin  ini tidaklah bersemayam di dalam kota istana yang dibuat oleh al-Marhum Kelantan yang dahulu itu dan baginda telah berbuat sebuah kota Istana yang baru arah sebelah matahari naik kota itu, di dalamnya baginda bersemayam hingga mangkat. Di dalam kota Istana yang baharu ini juga menjadi tempat semayam Tengku Muhamad Raja Muda.
     Tiada berapa tahun kemudian Tuan Andak Raja Legeh pun mangkat, lalu dilantik Tuan Tengah saudaranya iaitu anak kepada Tuan Sulong menjadi Raja Legeh menggantinya. Demikian juga apabila Nik Mat Raja Jering mangkat maka dilantik Nik Wok anaknya menjadi raja memerintah di situ pula.
     Sultan Sulaiman Sharifudin  telah menjalankan pemerintahan dengan adil saksama serta banyak baginda berbakti kepada rakyat jelata. Kerajaan Patani sekalipun pemerintahan baginda dijalankan di bawah kawalan perhatian Raja Siam-Thai tetapi soal menyelenggarakan kepentingan bangsa negeri dan kerajaan tidak ditinggalkan sahaja oleh baginda itu.
     Setelah 10 tahun lamanya Sultan Sulaiman Sharifudin  menduduki di atas takhta kerajaan Patani hingga memasuki tahun Masehi  1899 iaitu bersamaan pada hari Jumaat 4 bulan Rabiulawal 1316H baginda pun mangkat dan dimakamkan perkuburan Tok Ayah juga.
     Kemangkatan baginda telah meninggalkan dua orang putera dan dua orang puteri yang didapati dari dua orang isteri iaitu:
              Anak dengan bonda Kelantan :
1.    Tengku Sulung isteri Tengku Bentara.
Anak dengan Tengku Nik Putih anak Raja Sai.
2.    Tengku Besar Tuan Kembang isteri Tengku Muhamad Raja Muda.
3.    Tengku Abdul Kadir Kamarudin kemudian menjadi Raja Patani yang kelima.
4.    Tengku Muhamad Saleh.
Kemudian dari kemangkatan baginda itu, lalu dilantik puteranya Tengku Abdul Kadir Kamarudin menaiki takhta kerajaan Patani menggatikan ayahandanya iaitu menjadi Raja Patani yagn kelima daripada keturunan raja-raja Kelantan dan ialah juga seorang Raja Melayu yang akhir sekali memerintah negeri Patani.
          Manakala sampai ada tahun Masehi  1902, Raja Siam-Thai di Bangkok telah mengambil keputusannya hendak mengubah cara pemerintahan di dalam jajahan takluknya di Patani iaitu berkehendak supaya tujuh buah wilayah dalam Patani itu dicamtum menjadi sebuah wilayah sahaja dan dinamakan Boriwen (kawasan). Kemudian dimansuhkan daulat atau kekuasaan raja-raja Melayu yang bertujuh itu. Serta dilantik seorang Pesuruhjaya Siam mengganti raja-raja Melayu dengan bertanggungjawap menjalankan pemerintahan di dalam negeri Patani di bawah hukuman dan perhatian Raja Singgora.
          Raja Siam-Thai sangat mengerti bahawa kehendaknya ini tentu akan mendapat bantahan kuat dari raja-raja Melayu kerana iaitu bererti mencabul daulat dan kehormatan mereka sebagai raja-raja Melayu yang mempunyai hak pertuanan di atas negeri Patani. Oleh itu dia telah menghantar seorang Menteri utusannay ke Patani supaya merundingkan hal itu dengan raja-raja Melayu. Di dalam rundingannya ini dia telah meminta tanda tangan daripada raja-raja Melayu itu tanda kebenaran dan persetujuan dengan kehendak Raja Siam itu. Serta dia berjanji akan memberi gaji saraan hidup kepada raja dan kaum kerabatnya hingga sampai mati. Akan tetapi hak-hak dan pendapatan hasil mahsul di dalam negeri Patani itu semuanya hendaklah diserahkan kepada Raja Siam di Bangkok, serta tiap-tiap seorang Raja Melayu itu tidak lagi dipaksa menghantar ufti Bunga Emas ke Bangkok.
          Dengan menggunakan bermacam-macam tipu muslihat. Maka banyaklah di antara raja-raja Melayu itu telah terpedaya hingga sanggup memberi tandan tangan mengaku bersetuju dengan kehendak Raja Siam-Thai. Kecuali Tengku Abdul Kadir Kamarudin Raja Patani sahaja yang berkeras membantah kehendak Raja Siam itu serta tidak mahu memberi tanda tangannya kepada Menteri utusan Siam yang datang ke Patani itu kerana baginda telah mengerti bahawa kehendak Raja Siam itu bermaknalah hendak merampas semua sekali hak-hak orang-orang  Melayu yang mempunyai hak pertuanan di atas negeri Patani. Dan akhinya orang-orang  Melayu juga akan jatuh terkongkong di bawah penaklukan Siam-Thai bersama-sama dengan hak kebebasan dan kemerdekaan mereka.
          Dengan pengertian ini Tengku Abdul Kadir Kamarudin telah penuh berazam tidak mahu membenarkan kehendak Raja Siam-Thai. Setelah itu Menteri utusannya mulalah bertindak dengan cara kekerasan akan menangkap baginda itu. Pada suatu hari pura-pura dipersilakan baginda itu ke rumah perhentiannya konon katanya hendak mengadakan rundingan yang baik. Bala sahaja baginda datang ke rumahnya, denga segera ditahan oleh orang-orang  Siam-Thai dalam sebuah bilik tidak dibenarkannya keluar. Hal ini dijalankan denga cepat ligas hingga baginda sendiri tidak sedar.
          Bila hal penangkapan ini ditetahui oleh panglima-panglima dan orang-orang  besar Melay, datanglah mereka beramai-ramai hendak merebut rajanya di dalam tahanan orang-orang  Siam itu. Tetapi baginda berfikir tidak berguna dibiarkan rakyatnya bertumpah darah kerana telah diketahuinya kekuatan orang-orang  Patani itu terlampau kecil lalu dibiarkan sahaja baginda itu di dalam tahanan. Istimewa raja-raja Melayu yang lain sudahpun berpihak kepada Raja Siam-Thai dengan memberi tanda tangan masing-masing. Melainakan Raja Legeh dan Raja Remen sahaja yang berpendatan seperti baginda. Dalam hai itupun kesudahannya dengan kerana digertak dan diugut oleh orang-orang  Siam-Thai, terpaksalah raja-raja ini membenarkan kehendak Raja Siam itu.
          Setelah itu Menteri utusan Siam pun kembali ke Bangkok dengan membawa bersamanya Tengku Abdul Kadir Kamarudin ke sana tujuannya hendak mendesak dan mengancam supaya baginda memberi tandangan atau bersetuju dengan kehendak Raja Siam itu. Tetapi baginda ialah seorang raja Melayu yang keras hati dan sangat menghargakan daulat Kerajan Patani terus juga membantah kehendak Raja Siam-Thai, lalu dihantar baginda itu ke dalam sebuah tempat tahanan di negeri Pitsanuloke duduknya di utara kota Bangkok.
          Tatkala itu banyaklah di antara orang-orang  Melayu Patani yang taat setia kepada baginda itu telah bertawakal mengikut bersama-samanya hingga sampai ke Pitsanuloke, setengah mereka ada yang telah mati di tengah jalan dan ada pula yang telah mati di sanal.
          Setelah dua tahun sembilan bulan lamanya baginda ditahan di situ maka pada tahun Masehi  1905 baginda pun dapatlah kebenaran dari Raja Siam kembali ke Patani. Pasa masa itu cara-cara pemerintahan di dalam negeri Patani telah berubah dan bertukar mengikut kehendak Raja Siam-Thai. Negeri Patani telah dicantum menjadi sebuah wilayah dan duduknyadi bawah kawalan dan hukuman Raja Singgora yang diperintah oleh seorang Pesuruhjaya Siam bernama Phraya Mohibul duduknya di dalam negeri Patani.
          Sekalian raja-raja yang emam itu pun terhapuslah daulat kekuasaan masing-masing hanya duduk dengan menerima gaji saraan hidup sahaja hingga sampai mati.
          Setelah kembalinya Tengku Abdul Kadir Kamarudin itu ke Patani, baginda tidak suka lagi duduk di Patani lalu terus berangkat tinggal di Kelantan beberapa tahun lamanya. Hingga sampai pada tahun Masehi  1933 baginda pun mangkatlah di Kelantan dengan menghidap penyakit angin sesak.
          Kemangkatan baginda telah meninggalkan tida orang putera dan tiga orang puteri iaitu :
          Dengan Tengku Puteri Kelantan :
1.    Tengku Ahmad Nurudin (Tengku Seri Akar Raja) Kelantan.
Dengan Tuan Namas Patani :
2.    Tengku Zahedah (Tengku Besar)
3.    Tengku Yusuf Samsudin.
4.    Tengku Raudzah bersuami kepada Raja Haji Ahmad Perak.
5.    Tengku Kamariah.
Dengan Maimunah Patani :
6.    Tengku Yah bersuami kepada Tengku Abdul Kadir Petra (Tengku Petra) anak Raja Sai.
7.    Tengku Mahmood Mahyiddeen.
Yang demkian tahun 1902 M ialah tahun kejatuhan negeri Patani yang penghabisan sekali iaitu kehilangan daulat raj-rajanya. Terhapus hak pertuanan orang-orang  Melayu atas negeri Patani, tergadai semua hak kebebasan dan kemerdekaan mereka kepada Raja Siam-Thai. Inilah tahun yang sehabis-habis malang sekali di dalam sejarah kejatuhan Kerajaan Melayu Patani.
          Dengan kemangkat Tengku Abdul Kadir Kamarudin itu habislah raja Melayu yang menduduki takhta Kerajaan Patani, daripada keturunan raja-raja Kelantan. Dari semenjak itu tidak ada siapa pun lagi yagn diangkat menjadi Raja Patani. Hanya negeri Patani mulai mejadi sebuah daripada jajahan takluk kerajaan Siam-Thai.
          Di dalam tahun Masehi  1906 dengan kehendak Raja Siam juga pemerintahan secara Boriwen itu hapuskan dan diganti dengan suatu cara pemerintahan yang lebih baharu. Lalu sekalian wilayah-wilayah yang tujuh di dalam Patani itu disatukan semula menjadi sebuah jajahan provinsi Patani, dalam bahawa Siam dinamakan Monthon Patani. Kemudian di dalam provinsi Patani itu dibahagikan menjadi empat buah wilayah pula dipanggilnya  iaitu wilaya Patani, Yala, Saiburi dan Narathiwat (Bangnara). Kemudian dilantik Pesuruhjaya Siam-Thai memerintah di dalam tiap-tiap buah wilayah itu.
          Serta dilantik pula seorang Pesuruhjaya Tinggi (Gabenor General) berpusar di Patan, buat memerintah di atas empat buah wilayah itu dan sekalian pesuruhjaya di dalam tiap-tiap buah wilayah itu menjalankan pemerintahan masing-masing dibawah kawalannya. Pesuruhjaya Tinggi itu dinamakan dalama bahasa Siam Semo Ha Tesa Peba Monthon. Adapun orang Siam yang mula-mula sekali memangku jawatan Pesuruhjaya Tinggi dalam provinsi Patani itu ialah yang bernama Phraya Sakseni Narong dan nama gelarannya yang baharu Phraya Deca-Nucit.

ไม่มีความคิดเห็น:

แสดงความคิดเห็น

แสดงความคิดเห็น